1/03/2012

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI

Perkembangan Kreativiti Fisher

(a) Peringkat Rangsangan
Pemikiran kreatif dirangsang dengan apa, mengapa, siapa, bagaimana dan sebagainya. Guru perlu merangsang minda pelajar dengan pelbagai soalan kritikal.

(b) Peringkat Penerokaan
Peringkat rangsangan telah berjaya merangsang murid untuk berusaha menjawab persoalan yang dikemukakan oleh guru atau permasalahan yang timbul.

(c) Peringkat Perancangan
Peringkat ini menggalakkan pemikiran kreatif untuk merancang dan memetakan semua aktiviti dan merekodkan segala kemungkinan. Aktiviti pada peringkat ini akan dilakukan melalui 2 cara iaitu:
• Perancangan secara verbal iaitu perancangan melalui perbincangan, pemerhatian, interaksi dan sebagainya.
• Perancangan secara visual dilakukan melalui visual, graf, imej lukisan dan sebagainya.

(d) Peringkat Aktiviti
Pemikiran kreatif bermula dengan set idea. Justeru melahirkan pemikiran kreatif melalui tindakan setelah merencana segala aktiviti. Pada peringkat ini segala perancangan dibantu melalui persoalanpersoalan seperti ‘’Bagaimana harus kita mengambil tindakan ke atas cadangan tersebut?’’

(e) Kajian Semula
Peringkat ini menilai keberkesanan tindakan yang telah diambil bagi proses penambahbaikan selain melihat pencapaian objektif kerja. Murid-murid digesa untuk memberikan pendapat dan komen terhadap apa yang telah dilalui sebagai satu bentuk refleksi diri.

KREATIVITI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL

Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.

Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.

Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini.

Teori Calvin W. Taylor

(a) Kreativiti Bersifat Ekspresif
Kreativiti bersifat ekspresif berlaku secara rawak dan bebas. Keadaan ini boleh dilihat melalui lukisan kanak-kanak yang dihasilkan secara spontandan bebas mengikut kemampuan yang sesuai dengan perkembangan fizikal mereka yang belum stabil. Penghasilan lukisan pada peringkat ini banyak digambarkan melalui garisan dan contengan mudah.

(b) Kreativiti Melalui Penghasilan
guru membantu murid untuk menambahbaik kemahiran sedia ada kepada kaedah yang lebih sistematik dan tersusun. 

(c) Kreativiti Bersifat Inventif
Kreativiti bersifat inventif merujuk kepada keupayaan mencipta benda atau objek melalui proses eksprimentasi. Peranan guru pada peringkat ini adalah memberikan motivasi dan galakan supaya pelajar tidak cepat bosan dan putus asa.

(d) Kreativiti Bersifat Inovatif
Peringkat ini melibatkan modifikasi kepada konsep-konsep asas sedia ada kepada idea baru yang lebih bermakna. pelajar mula bertindak luar dari kaedah konvensional dan menghasilkan alternatif bagi setiap perancangan.

(e) Kreativiti Bersifat Emergen
Ini merupakan bentuk kreativiti tertinggi di mana keseluruhan prinsip formal diterjemahkan dan muncul di dalam bentuk abstrak dan mudah. Sebagi contoh, figura manusia digambarkan tanpa menitikberatkan bentuk formal dan bentuk asalnya oleh kanakkanak apabila melukis.

Teori Perkembangan Kreativiti Wallas

Graham Wallas merupakan salah seorang daripada pengkaji paling awal berkenaan dengan kreativiti dan peringkat-peringkat perlaksnaannya:
Peringkat 1
Peringkat persediaan merupakan peringkat awal atau permulaan proses kreativiti itu berlaku.

Pengumpulan Maklumat
Wallas menjelaskan pada peringkat awal proses kreativiti adalah mengumpulkan dan menghimpunkan data serta bahan yang diperlukan untuk penyelesaian sesuatu permasalahan atau pemikiran kreatif. Pada peringkat ini juga seseorang individu itu perlu peka terhadap permasalahan ataupun isu yang akan cuba diselesaikan. Contohya, semua idea-idea ataupun saranan yang diperolehi pada peringkat ini merangkumi dari semua arah. Seterusnya semua idea-idea dan saranan itu cuba dikenalpasti tentang kesahihan, kewujudan dan persoalannya. Pada peringkat akan berlaku proses penyiasatan yang terperinci bagi tujuan untuk memperkayakan idea-idea ataupun saranan tadi.

Selain itu, ia akan melibatkan proses didikan intelek secara eksperimentasi dan juga logikal di samping menagih pengetahuan serta pengalaman seseorang individu itu.

Peringkat 2

Proses Penyelesaian Masalah
Pada peringkat ini berlaku juga proses penyelesaian masalah kepada idea-idea dan saranan yang pertama itu. Terdapat beberapa cara penyelesaian pada permasalahan idea pertama ini yang dijelaskan oleh Wallas seperti membaca, mencatat, berbincang, bertanya, mengumpul dan meneroka. Beberapa alternatif penyelesaian difikirkan, beberapa kekuatan dan cara penyelesaian serta kelemahan akan dikenal pasti.

Di samping itu juga, sekiranya seseorang individu itu mengambil kira banyak pandangan serta pendapat dari individu lain, ianya seolah-olah telah lari dari sifat asal kreativiti yang lebih mementingkan keutamaan idea yang asli serta satu identiti yang khusus. Senario ini dilihat belum lagi mendapat jawapan yang jelas dan nyata. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang pencipta itu telah pun mendengar pelbagai pandangan daripada pihak lain, perlulah diingatkan bahawa seseorang itu perlu mengesahkan ideanya tersendiri supaya idea berkenaan mudah dan bebas berkembang secara sendiri tanpa sebarang gangguan daripada perkara-perkara lain. Pada peringkat ini, ianya seolah-olah memberikan satu makna dan pengertian kepada penerokaan idea yang pertama. Idea yang pertama tadi juga, akan bertindak sebagai pengerak awal yang memberikan arahan dan sebab yang musabab kepada penerokaan tersebut.

Manakala di dalam bidang seni visual pula, ianya memerlukan peringkat persediaan yang lebih khusus. Sesuatu penciptaan yang baru memerlukan satu teknik penciptaan yang mantap dan berkesan. Contohnya, dalam bidang periklanan, citarasa pengguna terlebih dahulu perlu dikenalpasti dan idea yang mana paling kukuh serta berjaya mempengaruhi pengguna. Instrumen penciptaan ini menyediakan pelbagai teknik yang berbeza di dalam proses menglahirkan sesuatu idea baru dalam penghasilan karya seni yang kreatif.

Oleh itu, setiap pencipta perlulah benar-benar mengetahui dan menguasai sesuatu bidang terlebih dahulu sebelum menerokainya. Di peringkat ini juga, emosi seseorang itu akan sarat dengan perasaan berkeinginan dan tidak sabar untuk menyelesaikan permasalahan idea-idea dan saranan tersebut. 

Teori Carl Rogers

Carl Rogers telah menggariskan lima faktor yang menjadi asas kepada individu yang sihat, yang dapat berfungsi dengan sepenuhnya dalam kehidupan. Kelima-lima faktor tersebut ialah keterbukaan kepada pengalaman, cuba menikmati kehidupan yang dialaminya, menghargai diri sendiri, mengamalkan kebebasan dan akhirnya menjadi individu kreatif. Beliau percaya bahawa individu yang bebas dan mempunyai rasa tanggungjawab akan cuba menyumbang kepada insan serta makhluk lain di persekitarannya. Sumbangan ini boleh dinyatakan dalam bentuk kreativiti di dalam bidang seni ataupun sains.

Teori June King McFee

June King McFee, mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru atau mampu mengolah idea baru dan lain yang lebih bermakna. Seni tidak terhad kepada hasil karya seni sahaja tetapi juga melibatkan pengalaman estetika. Seni ialah satu bentuk komunikasi yang dipengaruhi oleh konteks budaya.

Teori E. Paul Torrance dalam Pandangan Tokoh-Tokoh Seni Visual mengenai Kreativiti

E. Paul Torrance (Tersohor dalam bidang/kajian kreativiti). Beliau mencadangkan Ujian IQ bukanlah satu-satunya cara mengukur daya intelektual seseorang. Beliau memperkenalkan instrumen untuk menguji tahap kreativiti sesseorang menggunakan “Torrence Test of Creative Thinking”.
Tokoh Kreativiti - Ellis Paul Torrance
Beliau merupakan salah seorang daripada penyelidik dan pemikir akademik yang sangat terkenal di dunia. Berbagai kajian dan teori-teorinya dalam bidang kreativiti masih lagi segar dan digunakan dalam bidang pendidikan sehingga hari ini. Berdasarkan kepada penulisan dan kerja-kerja penyelidikannya di dalam bidang kreativiti dan pendidikan akhirnya beliau telah diiktiraf sebagai Bapa Kreativiti (Father’s Of Creativity).

Beliau juga bertanggungjawab dan berjaya mencipta satu kaedah penanda aras bagi membolehkan proses pengukuran tahap kreativiti pada seseorang individu. Instrumen yang telah berjaya beliau bangunkan dan perkenalkan adalah ‘Torrence Test of Creative Thinking’ (TTOCT). Di samping membangunkan pengujian dan pengukuran kreativiti beliau juga mencipta serta memperkenalkan teori kreativiti di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. Beliau telah mengaris dan memperkenalkan tujuh perkara utama dalam proses penjanaan kreativiti individu.

Tujuh perkara tersebut adalah:

(a) Penyoalan
Bagi tujuan untuk merangsang pemikiran seseorang pelajar proses penyoalan adalah sangat penting dan perlu dipraktikkan. Di samping itu, penyoalan juga boleh mengalakkan dan merangsang daya pemikiran pelajar berkenaan. Di dalam proses pembelajaran seni visual, sesi kritikan seni boleh melahirkan dan mewujudkan cetusan pemikiran kritikal yang baik.

(b) Penemuan 
Penemuan adalah merupakan satu aspek yang penting dalam usaha untuk memberikan galakan dan ransangan oleh guru kepada pelajar untuk tujuan mengalakkan penemuan-penemuan yang terkini melalui kajian dan juga penyelidikan. Dalam hal ini pelajar digalakan mencuba serta melakukan berbagai ekplorasi dan eksperimen bagi mencari penemuan terkini melalui aktiviti-aktiviti seni visual.

(c) Pemerhatian
Pemerhatian ataupun observasi ini adalah merujuk kepada penggunaan pelbagai deria yang terdapat pada manusia. Biasanya apabila kita memperkatakan tentang pemerhatian, ia berkaitrapat dengan aktiviti-aktiviti dan penghasilan lukisan. Di dalam proses pendidikan seni visual, proses pemerhatian tidak hanya tertumpu pada pengamatan sahaja malahan juga merangkumi deria-deria lain termasuklah deria sentuhan, rasa, hidu dan dengar.

(e) Percubaan
Percubaan dan ekperimentasi yang berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik adalah satu proses penghasilan kerja yang sangat baik diamalkan di kalangan pelajar. Seseorang yang kreatif tidak akan berhenti dari bereksperimentasi bagi memastikan apa yang dihasilkannya adalah sesuatu yang terbaik. Secara tidak lansung proses mendidik pelajar supaya tidak mudah berpuas hati dan berputus asa dalam membuat ekperimentasi akan berupaya membina satu pengalaman yang berguna ketika menghasilkan karya.

(f) Penerokaan
Galakan kepada pelajar bagi membuat penerokaan dan ekplorasi dengan menggunakan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Dalam konteks ini, pendidik dalam bidang pendidikan seni digalakkan untuk membimbing pelajar untuk menggunakan bahan terpakai yang terdapat di sekeliling mereka dalam proses menghasilkan karya. Proses ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar berkenaan akan menjadi lebih peka dan sensitif di samping berupaya menjadi seorang individu yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
(g) Memanipulasi
Seseorang individu yang mampu bertindak dan menghasilkan sesuatu melalui bahan atau keadaan yang ada merupakan satu proses memanipulasi yang sempurna. Ini bermakna apabila seseorang pelajar mampu menggunakan bahan dan objek yang berada di sekelilingnya untuk menghasilkan satu karya seni maka proses memanipulasi telah pun berlaku. Manakala di dalam proses pembelajaran seni pula, ia mampu menyedarkan pelajar supaya lebih berjimat cermat di samping mengelakan dari melakukan pembaziran penggunaan bahan semasa menghasilkan karya.

(h) Aktiviti / Bermain

Aktiviti bermain juga boleh meransang kreativiti individu. Bagi seorang kanak-kanak bermain adalah merupakan satu situasi yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Kreativiti seseorang kanak-kanak akan lebih terangsang melalui aktiviti-aktiviti yang sempurna dan berbentuk akademik. Ini dengan secara tidak langsung akan membantu merangsang proses perkembangan pemikiran dan kreativiti yang sihat.